PENDAHULUAN
Jenayah merupakan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang
kerajaan sesuatu tempat. Orang yang melakukan perbuatan jenayah ini dinamakan
penjenayah.
Menurut Kamus
Dewan, Undang-undang ialah sesuatu peraturan atau keseluruhan peraturan yang
digubal (dibuat) oleh sesebuah kerajaan negeri atau negara dan ianya mesti
dipatuhi oleh setiap individu atau masyarakat tersebut. Di dalam sesebuah
negara demokrasi, Parlimen membuat undang-undang yang mesti diikuti oleh setiap
orang.
Jenayah ialah
kesalahan yang dilakukan oleh individu atau kumpulan dengan niat hendak
melakukan kesalahan itu, maka orang yang melakukan kesalahan itu boleh lah
dihukum dengan balasan penjara ataupun boleh dikenakan hukuman mati ke atas si
pelaku tersebut jika terbukti akan kesalahan yang dilakukan. – Tun Salleh
Abas
Sesuatu perbuatan
atau kesalahan jenayah adalah dilakukan dengan niat salah. Sesuatu perbuatan
tidak boleh menjadi jenayah sekiranya tidak disertai dengan niat, walaupun
akibat dari perbuatan seperti itu, membawa kecederaan atau maut terhadap
mangsanya.
Di dalam
perundangan jenayah moden terdapat satu maxim latin yang tersohor iaitu Actus
non facit reum nisi req yang disebut oleh Lord Kenyon sebagai niat
dan perbuatan termasuk ketinggalan. Perbuatan dan niat mesti ada serentak untuk
mewujudkan jenayah (kes Fowler V Padet, 1978, T.T.R 509). Ini
bermakna sesuatu perbuatan atau ketinggalan jenayah dikatakan sebagai satu
jenayah.
Jenayah adalah
kelakuan yang menyalahi undang-undang. Jenayah juga dianggap sebagai tindak
tanduk yang menyalahi undang-undang. Menurut Kanun Tatacara Jenayah ianya
sebagai satu perbuatan atau ketinggalan yang boleh dihukum dibawah satu undang-undang
yang sedang berkuatkuasa.
Jenayah boleh dikategorikan kepada beberapa iaitu:
a)
Jenayah Harta Benda
b)
Jenayah Tubuh Badan
c)
Jenayah Komersial
d)
Jenayah Siber
e)
Jenayah Maritim
f)
Jenayah Udara
g)
Jenayah Melibatkan Moral
h)
Jenayah Melibatkan Hak Individu / Kumpulan / Organisasi
PENGERTIAN
HIRABAH
Hirabah adalah satu bentuk perkara jenayah ia lebih dahsyat dari
pembunuhan semata. Hirabah ialah rompakan bersenjata atau tindakan ganas yang
dilakukan di jalan-jalan awam dengan menceroboh para penggunanya, mengancam
keselamatan mereka dan merampas harta benda mereka. Ini merupakan sejenis
jenayah yang sangat serius dan berbahaya. Justeru, hukuman yang paling keras
mesti dikenakan ke atas pelakunya untuk menjamin keamanan di jalan-jalan awam
dan memelihara keselamatan para penggunanya.
Hirabah secara
tata bahasa arab berasal dari kata harb (حرب)
yang bererti perang, yang merupakan perkataan berlawan dari as-silmu (السّلم)
yang bermakna perdamaian[1].
Hirabah
dalam istilah syara’ membawa maksud serangan bertjuan merampas harta, membunuh
atau menakutkan dengan cara terang-terangan, angkuh dan menggunakan kekuatan di
kawasan yang terpencil daripada bantuan. Ia dilakukan oleh mukallaf yang tertakluk kepada undang-undang, termasuk
ahli zimmi dan orang yang murtad.
Terdapat
beberapa istilah yang digunakan bagi jenayah merompak dalam sistem jenayah
Islam iaitu meliputi al-Hirabah, Sariqah al-Kubra, dan Qatta
al-Tariq.[2]
Hirabah atau merompak ditakrifkan sebagai keluarnya seseorang atau
sekumpulan orang [3]
dengan tujuan untuk mengambil harta atau menakut-nakutkan[4]
orang dengan cara kekerasan dan berjauhan daripada tempat untu mendapat
pertolongan. Ia memberikan pengertian bahawa merompak adalah suatu perbuatan
untuk mengambil harta atau membunuh atau mengugut dengan menggunakan senjata demi
mencapai apa yang dihajati.
Frasa
yang menggunakan kekuatan di sini menunjukkan bahawa sekiranya jenayah
yang dilakukan tersebut dibuat atas dasar kelalaian seterusnya melarikan diri
atau bergantung kepada kelemahan mangsa, jenayah tersebut tidak dikategorikan
sebagai hirabah.[5]
Tetapi ia dikategorikan sebagai rampasan (nuhbah “النهبة
) dan seumpamanya yang mempunyai hukum yang khusus.
Frasa
di kawasan yang terpencil daripada bantuan adalah kawasan yang jauh
daripada kawasan Bandar atau kampung yang sekiranya mangsa meminta tolong,
suaranya tidak akan kedengaran oleh penduduk sekitar. Bagi jenayah yang
dilakukan dalam jarak yang boleh didengar suara mangsa, ia tidak dikategorikan
sebagai hirabah.
Frasa
mukallaf yang tertakluk kepada undang-undang mengenepikan kafir harbi.
Oleh itu, kafir harbi tidak termasuk dalam kategori ini walaupun
dia membunuh dan merompak.[6]
Dia sebenarnya boleh dibunuh dalam apa jua keadaan sekalipun. Walau bagaimanapun,
apabila seseorang kafir harbi memeluk Islam, segala kesalahannya sebelum
ini diampunkan kerana Islam menghapuskan segala dosanya.
Termasuk
dalam pengertian di atas ialah hamba, perempuan dan pemabuk yamg mabuk kerana
sengaja melanggar larangan minum bahan yang memabukkan kerana mereka semua
adalah mukallaf. Jenayah ini juga boleh dilakukan secara individu atau
berkumpulan selagi mana memenuhi ciri-ciri yang ditetapkan.
Dalam
bahasa Arab, pelaku jenayah ini iaitu perompak dinamakan sebagai qatta’u
al-Tariq (قطاع الطريق) [7]yang bermaksud pemutus jalan. Mereka
dinamakan sedemikian kerana orang ramai terpaksa mengelak melalui jalan
tersebut, seolah-olah mereka ini benar-benar memutuskan jalan.
PENGERTIAN HIRABAH MENURUT JUMHUR ULAMA’
Menurut
Mazhab Hanafi, rompakan ialah tindakan mengeluarkan senjata serta menakutkan
orang di jalan-jalan di luar kawasan berpenduduk atau di dalamnya sama ada
dengan tujuan merampas harta benda orang atau tanpa tujuan tersebut. Namun
begitu, Imam Abu Hanifah menekankan bahawa rompakan tidak akan berlaku sama
sekali di dalam kawasan berpenduduk.
Manakala,
menurut Mazhab Maliki, rompakan ialah tindakan mengeluarkan senjata serta
menakutkan orang di jalan-jalan di luar kawasan berpenduduk atau di dalamnya
sama ada dengan tujuan merampas harta benda orang atau tanpa tujuan tersebut.
Seterusnya
mazhab Syafie dan Ahmad, tindakan keluar (oleh seseorang atau sekumpulan orang)
untuk merampas harta atau membunuh atau menakutkan orang dengan
kekuatan/kekerasan di suatu tempat yang tidak mungkin mangsanya mendapatkan
pertolongan.
SYARAT-SYARAT HIRABAH
1. Tempat hirabah yang dilakukan oleh pelakunya mestilah di tempat yang
jauh dari tempat orang ramai.[8] Contohnya di padang rumput yang jauh, di
gunung, atau tempat jauh dari lokasi penduduk. Jika tindakan itu dilakukan di
tempat orang ramai, maka bukan tindakan hirabah, akan tetapi perampasan biasa,
Sebab yang disebut dengan hirabah adalah samun atau rompakan yang dilakukan di
jalan-jalan. Akan tetapi, bila mereka melakukan tindakan pembunuhan, perampasan
harta dan kemusnahan di tempat-tempat orang ramai, maka tindakan mereka
dianggap sebagai hirabah dan berhak dijatuhi hukuman hudud.
2. Pelakunya membawa senjata yang dapat digunakan untuk membunuh.[9]
Contohnya, pedang, senjata api dan lain-lain. Jika mereka tidak membawa
senjata atau bersenjatakan alat-alat yang tidak boleh digunakan untuk membunuh
seperti tongkat, cambuk dan lain-lain, maka tindakan mereka tidak disebut
dengan hirabah.
3. Dilakukan dengan terang-terangan.[10]
Contohnya, mereka merampas harta dengan paksa dan terang-terangan dan
memiliki markas pusat. Jika mereka mengambil harta dengan cara
sembunyi-sembunyi mereka disebut pencuri. Jika mereka merampas kemudian
melarikan diri, mereka disebut peragut.
SYARAT DAN KETENTUAN
Suatu perkara dapat ditetapkan sebagai pencurian
apabila memenuhi syarat seperti berikut[11]:
1. Orang yang mencuri adalah mukallaf iaitu baligh dan berakal.
2. Pencurian itu dilakukan dengan cara sembunyi-sembunyi.
3. Barang yang dicuri benar-benar milik orang lain.
4. Barang yang dicuri mencapai jumlah nisab.
5. Barang yang dicuri berada di tempat penyimpanan atau di tempat yang
disembunyikan.
SYARAT-SYARAT MENJATUHKAN HUKUMAN JENAYAH HIRABAH
1. Muharib adalah Mukallaf
2. Muharib membawa senjata
3. Lokasi kejadian adalah jauh daripada orang ramai
4. Tindakan hirabah secara terang-terangan
HUKUMAN HAD BAGI JENAYAH HIRABAH
Sepertimana yang telah disebutkan sebelum
ini bahawa jenayah hirabah merupakan jenayah yang dikenakan hukuman had.
Jenayah hirabah tidak syak lagi merupakan satu jenayah yang sangat berat dan
merbahaya. Oleh itu, pelakunya dikenakan hukuman had yang sangat berat juga
jika jenayah hirabah itu disabitkan dengan dua cara[12]:
1. Iqrar (pengakuan bersalah) oleh tertuduh sendiri, ataupun
2. Syahadah (keterangan saksi mengikut hukum syara’), selain daripada keterangan
mangsa.
Sekiranya didapati sabit kesalahan jenayah hirabah itu
melalui salah satu cara di atas atau kedua-duanya sekali, maka Allah S.W.T
telah menetapkan hukuman had berikut ke atas mereka sepertimana yang dinyatakan
dalam ayat ke-33, Surah al-Maidah :
a) Hukuman Had Bunuh dan Salib
Hukuman had ini dijatuhkan sekiranya semasa melakukan
jenayah hirabah itu pembunuhan berlaku, yakni mangsa hirabah terbunuh dan harta
yang dirompak atau diambil pula cukup nisab ataupun lebih[13].
Dalam kes seumpama ini, walaupun harta yang dirompak atau diambil cukup nisab,
hanya hukuman had bunuh dan salib sahaja yang akan dijalankan ke atas pesalah.
Adapun hukuman had potong tangan kanan dan kaki kiri pula tidak akan dikenakan.
Pelaksanaan
hukuman had dan salib atau palang selepas dibunuh ini bertujuan sebagai balasan
atas perbuatan melampau mereka serta sebagai pengajaran dan amaran bagi yang
lain supaya menjauhi jenayah ini. Menurut ulama’ Mazhab Syafie, hukuman had
salib ini hendaklah dilaksanakan selepas pelaksanaan hukuman had bunuh. Ini
kerana jika hukuman had salib itu dilaksanakan sebelum hukuman had bunuh, ia
merupakan suatu penyeksaan yang ditegah oleh syara’.
Selepas
hukuman had bunuh dilaksankan ke atas pesalah jenayah hirabah, jenazahnya
hendaklah dimandikan kemudian dikafankan dan seterusnya disembahyangkan
terlebih dahulu. Selepas itu barulah jenazah pesalah hirabah itu disalib pada
kayu atau seumpamanya selama tiga hari tiga malam supaya perkara jenayah dan
hukumannya itu diketahui umum agar orang ramai mengambil iktibar dan pengajaran
daripadanya. Bagaimanapun, jika jenazah itu berubah ataupun mereput sebelum
sampai tiga hari, menurut pendapat yang sah hendaklah ia diturunkan.
b)Hukuman Had Bunuh
Hukuman had ini dijatuhkan sekiranya semasa
melakukan jenayah hirabah itu pembunuhan berlaku, yakni mangsa hirabah terbunuh
walaupun harta tidak diambil ataupun harta diambil, akan tetapi kurang daripada
nisab[14].
c c)Hukuman Had Potong Pergelangan Tangan Kanan dan Kaki Kiri Setakat Buku
Lali
Hukuman had ini dijatuhkan sekiranya semasa
melakukan jenayah hirabah itu Cuma harta yang dirompak atau diambil sahaja yang
sampai nisab ataupun lebih, akan tetapi tidak ada pembunuhan berlaku.
Adapun
sebagai contoh, nisab atau nilai yang dikenakan hukuman had sepertimana yang
termaktub dalam Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah ialah 1 dinar,
iaitu 4.25 gram emas ataupun nilainya dalam matawang tempatan pada masa
kesalahan dilakukan. Jadi jika harga pasaran 1 gram emas ialah 80 ringgit
Brunei, maka kadar nisab curian atau rompakan yang dikenakan hukuman had dalam
matawang Brunei Darussalam adalah 340 ringgit Brunei.
Hukuman
had potong pergelangan tangan kanan dan kaki kiri setakat buku lali ini adalah
dikira satu hukuman had dan perlu dilaksanakan kedua-duanya. Dalam makna,
apabila semasa melakukan jenayah hirabah itu cuma harta yang diambil yang
sampai nisab ataupun lebih, akan tetapi tidak ada pembunuhan berlaku, maka jika
sabit kesalahan, kedua-dua pergelangan tangan kanan dan kaki kiri setakat buku
lalinya akan dipotong. Dari itu, kedua-duanya perlu dilaksanakan ke atasnya
sama ada secara sekali gus ataupun secara satu persatu.
KATEGORI PENJENAYAH HIRABAH
Pelaku
penjenayah hirabah dibahagikan kepada 4 kategori [15]:
1. Penjenayah yang membunuh dan merompak harta.
2. Penjenayah yang membunuh sahaja dan tidak merompak harta.
3. Penjenayah yang merompak dan tidak mengancam nyawa.
4. Penjenayah yang menakut-nakutkan orang ramai tanpa mengancam nyawa atau
merompak harta.
Ini
adalah empat kategori pelaku penjenayah hirabah. Jenayah yang paling
berat antara kategori ini ialah mereka yang membunuh dan merompak. Sementara
yang paling ringan ialah mereka yang sekadar menakutkan tanpa mengancam nyawa
atau harta. Hukuman bagi jenayah dilakukan ini berbeza mengikut jenayah yang
dilakukan. Keterangan adalah seperti berikut:
HUKUMAN BAGI SETIAP KESALAHAN
1. Mereka yang membunuh dan merompak akan dihukum bunuh kemudian disalib
selama 3 hari di tempat yang tinggi seperti kayu atau sebagainya. Hukuman
sedemikian dikenakan sebagai memberi pengajaran kepada orang ramai di samping
memperlihatkan nasib mereka kepada orang ramai. Walau bagaimanapun, mereka hanya
akan disalib selepas mandi, dikafan dan disembahyangkan. Ini kerana, walaupun
mereka melakukan jenayah, namun ia tidak bermakna mereka terkeluar daripada
Islam. Jenayah muslim tetap wajib dimandi , dikafan, disembahyang dan
dikebumikan.[16]
2. Mereka yang membunuh sahaja akan dihukum bunuh tanpa disalib. Walau
bagaimanapun, keluarga mangsa tidak boleh memberi pengampunan kerana hukuman
ini adalah hak Allah S.W.T.
Perbezaan
antara pembunuh dalam jenayah ini dengan jenayah bunuh dalam bab qisas ialah,
pembunuh di sini membunuh bertujuan untuk menakut-nakutkan dan mengganggu
perjalanan orang ramai dengan menggunakan kekuatan tanpa mengambil kira mangsa
tertentu, malah ia akan membunuh sesiapa sahaja yang melalui jalan tersebut.
Oleh itu hukuman ini menjadi hak Allah dan pengampunan oleh keluarga tidak akan
dapat menggugurkan hukuman ini.
3. Mereka yang merompak sahaja akan dihukum potong tangan secara bersilang.
Maksudnya, tangan kanannya akan dipotong bahagian pergelangan tangan dan kaki
kirinya pada pergelangan kaki. Sekiranya jenayah ini diulang, tangan kiri dan
kaki kanan akan dipotong.
Walau
bagaimanapun, jumlah harta yang dirompak mestilah mencecah kadar yang
ditetapkan dalam kesalahan mencuri iaiti suku Dinar atau lebih, atau yang sama
nilai dengannya. Sekiranya harta yang dirompak tidak mencecah jumlah tersebut,
hakim boleh mengenakan ta’zir yang sesuai.
Perbezaan
antara jenayah yang dilakukan oleh perompak dengan pencuri ialah pencuri
mengambil harta curi secara sembunyi sementara perompak melakukannya dengan
menakutkan dan mengganggu perjalanan orang ramai dengan menggunakan kekuatan.
Apatah lagi apabila berjauhan daripada orang ramai.
4. Mereka yang hanya menakut-nakutkan tanpa merompak dan membunuh akan
dihukum mengikut hukuman ta’zir seperti dibuang negeri, dipenjara atau
sebagainya. Hukuman ini bergantung kepada pemerintah dan tiada tempoh tertentu
yang ditetapkan bagi hukuman penjara. Malah pemerintah boleh memberi
pengampunan jika perlu[17].
HUKUM DAN BALASAN MELAKUKAN JENAYAH HIRABAH
Hirabah tidak syak lagi adalah satu perlakuan haram
dan merupakan satu dosa besar. Ia termasuk dalam bahagian jenayah yang
dikenakan hukuman had dengan kesepakatan para fuqaha’. Dalam Al-Quran,
perlakuan hirabah dianggap dan digelarkan sebagai perlakuan yang
memerangi Allah S.W.T dalam Surah Al-Maidah, ayat 33:
Tafsirnya: “Sesungguhnya balasan orang-orang yang
memerangi Allah dan Rasul-Nya dan membuat kerosakan di muka bumi (dengan
menyamun dan merompak ) ialah dengan dibalas bunuh atau dipalang atau dipotong
tangan-tangan mereka serta kaki-kaki mereka dengan bersilang atau dibuang
negeri (tempat kediaman mereka). Hukuman yang demikian itu adalah suatu
penghinaan kepada mereka di dunia dan di akhirat kelak bagi mereka azab yang
besar”. (Surah al-Maidah, ayat:33)[18]
Perumpamaan
jenayah hirabah sebagai satu perlakuan memerangi Allah S.W.T dan
Rasul-Nya serta membuat kerosakan di muka bumi adalah satu perumpamaan yang
sangat dahsyat di mana ia jelas menggambarkan bahawa perlakuan hirabah
itu adalah satu jenayah yang sangat besar dan berat. Pelaku jenayah hirabah
ini, yang tergamak menggunakan kekerasan serta senjata untuk merampas hak dan
harta benda orang lain, adalah mereka yang sangat malang. Selain dalam
Al-Quran, Rasulullah S.A.W sendiri telah menafikan mereka ini sebagai umat
Baginda. Abdullah bin Umar, Salamah bin al-Akwa’, Abu Musa al-Asy’ari dan Abu
Hurairah r.a meriwayatkan bahawasanya Rasulullah S.A.W telah bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang menghunus senjata ke atas
kami, maka dia bukanlah sebahagian daripada kami”. (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)[19]
Penafian
sebagai umat Muhammad atau umat Islam ini merupakan satu amaran serta kecaman
atas perbuatan melampau mereka yang bertindak menyebabkan ketakutan di kalangan
orang ramai serta satu peringatan kepada semua supaya menjauhi jenayah seumpama
itu. Ini kerana sebagai umat Muhammad atau umat Islam, hak mereka sesama Muslim
sepatutnya adalah saling membantu, mempertahankan dan memberikan perlindungan
antara satu dengan yang lain. Bukannya merompak, membunuh, mencederakan ataupun
menggugat keamanan dan keselamatan atau menimbulkan ketakutan di kalangan
mereka. Amaran ini jelas menunjukkan betapa beratnya perlakuan jenayah tersebut
dan satu dalil jelas bahawa ia adalah suatu yang haram.
DALIL HUKUMAN HIRABAH
Dalil bagi hukuman jenayah hirabah ialah
berpandukan firman Allah S.W.T:
Maksudnya: Bahawasanya balasan orang-orang yang memerangi
Allah dan Rasul-Nya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan
dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau
dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki
mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau
mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah
suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa
yang amat besar.[20]
(Surah al-Maidah:33)
Hukuman
bunuh sahaja melibatkan kategori kedua iaitu apabila yang dilakukan hanya
membabitkan pembunuhan tanpa merompak.
Hukuman
bunuh dengan salib pula melibatkan kategori pertama iaitu apabila jenayah yang
dilakukan membabitkan jenayah bunuh dan merompak. Hukuman potong tangan dan
kaki melibatkan kategori ketiga iaitu bagi jenayah merompak tetapi tidak
mengancam nyawa. Akhirnya, hukuman buang negeri melibatkan kategori yang
keempat iaitu apabila jenayah hanya melibatkan perbuatan menakut-nakutkan tanpa
melibatkan nyawa dan harta.
PENGGUGURAN HUKUMAN HIRABAH
Kesemua hukuman yang dinyatakan di atas hanya boleh
digugurkan dalam satu keadaan sahaja. Iaitu apabila pesalah bertaubat
sebelumberjaya ditangkap oleh pemerintah, sama ada dengan cara melarikan diri
atau bersembunyi, atau kerana gagal dikesan oleh pemerintah. Sekiranya
penjenayah bertaubat sebelum dibawa kemuka pengadilan, semua hukuman yang
khusus untuk jenayah hirabah iaitu bunuh, salib, potong tangan dan kaki
akan digugurkan[21].
Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:
Maksudnya: Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum
kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah,
bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah
al-Maidah:34)
Status
beliau ketika itu (selepas bertaubat) hanyalah sebagai seorang pembunuh atau
perampas. Oleh itu, dia dihukum berdasarkan kesalahan membunuh, merompak atau
merampas.
Semua
ini dilaksanakan berdasarkan kaedah dan hukum-hakam yang telah sedia maklum.
Taubat tidak akan menggugurkan sebarang jenayah yang dilakukan ketika melakukan
jenayah hirabah.
Oleh
itu, seseorang pembunuh yang telah bertaubat sebelum berjaya ditangkap oleh
pemerintah masih tertakluk kepada hukuman qisas kecuali ia diampun oleh
keluarga mangsa dengan tuntutan membayar diyat atau tanpa sebarang tuntutan.
Sementara perompak pula perlu membayar ganti rugi barang yang dirompak selain
hukuman ta’zir yang dikenakan pemerintah.
Dengan
ini, dapat kita fahami bahawa penjenayah hirabah yang mencuri atau minum arak
ketika melakukan jenayah hirabah suatu masa dahulu, masih tertakluk
kepada hukuman curi atau minum arak walaupun setelah bertaubat. Ini kerana
hukuman-hukuman tersebut tidak akan digugurkan walaupun dengan taubat[22].
HIKMAH HUKUMAN DALAM ISLAM
Islam telah menetapkan hukuman bagi setiap kesalahan
jenayah yang dilakukan sama ada tergolong dalam jenayah hudud, qisas mahupun
ta’zir[23].
Antara hikmah daripada hukuman tersebut adalah seperti berikut:
1. Pencegahan
Bagi tujuan
pencegahan, amaran keras dengan janji-janji azab telah dinyatakan oleh syariat
agar manusia takut untuk melakukan jenayah tersebut. Bila melihat hukuman yang
dijalankan, bukan sahaja akan mencegah penjenayah tersebut dari mengulangi
kesalahan, bahkan mencegah orang ramai daripada melakukan jenayah.
Selain itu, hukuman yang
disyariatkan Islam bukanlah berbentuk hukuman dan pembalasan terhadap jenayah
yang dilakukan semata-mata, tetapi ia juga berbentuk pencegahan sesebuah
masyarakat daripada kerosakan dan kemusnahan akibat daripada jenayah itu.
Sebagai contoh hukuman qisas yang dijatuhkan terhadap pesalah bukanlah
bermaksud membalas dendam, menuntut bela atau semata-mata menjatuhkan hukuman
bagi kesalahan yang dilakukan.
Akan tetapi, ia bagi mencegah
perbuatan itu daripada terus berlarutan. Persengketaan atau permusuhan
berkemungkinan terus berlaku dan berlarutan antara waris penjenayah dan waris
mangsa sekiranya hukuman qisas tidak dijalankan. Bukti yang dapat kita lihat di
sini ialah peperangan al-Basus yang berlaku di kalangan masyarakat jahiliah di
mana peperangan ini berlaku antara kabilah Taghlib dengan kabilah Bakar selama 40
tahun. Punca peperangan ini bila mana seorang kabilah Taghlib bernama Kulaib
telah membunuh seekor unta milik seorang perempuan daripada kabilah Bakar.
Memang menjadi matlamat asal
perundangan Islam ialah mencegah dan menggerunkan manusia daripada melakukan
jenayah. Ini adalah untuk menghalang keroskan dan menolak kemudaratan.
2. Pembalasan
Hikmah daripada hukuman juga adalah sebagai
balasan kepada penjenayah tersebut di samping memberi pembelaan dan keadilan
terhadap mangsa jenayah. Sebab itu dalam kesalahan hudud dan qisas ditetapkan
hukuman tertentu sebagai balasan terhadap kesalahan. Dalam kes mencuri
contohnya, dikenakan hukuman potong tangan sebagai balasannya. Islam
menyediakan sumber penghukuman daripada al-Quran dan hadith demi memastikan
hukuman berjalan dengan baik tanpa sebarang penganiayaan.
3. Pemulihan
Seseorang yang
dikenakan hukuman atau dimaafkan atas kesalahan akan melahirkan kesedaran dalam
dirinya. Hukuman itu sendiri bertujuan untuk mendidik diri di samping kifarah
dan seterusnya dia akan bertaubat kepada Allah. Tujuan hukuman adalah untuk
memulihkan pesalah. Sebab itu sebahagian daripada kesalahan ada kemaafan seperti
qisas dan ta’zir.
4. Pemeliharaan
Pemeliharaan yang dimaksudkan di sini ialah
pemeliharaan nilai murni dalam masyarakat oleh setiap individu demi menjamin
keharmonian dan kestabilan hidup. Penghukuman dalam undang-undang Islam
disyariatkan untuk memelihara nilai-nilai murni seperti berikut[24]:
a) Memelihara Agama
Hukuman berat dikenakan kepada orang murtad bertjuan
memelihara kesucian agama.
b) Memelihara jiwa
Hukuman qisas disyariatkan iaitu hukum bunuh terhadap
pembunuh yang membunuh dengan sengaja bertujuan memelihara jiwa manusia
daripada diceroboh dan diganggu.
c) Memelihara akal
Hukuman dikenakan terhadap peminum arak bertujuan
menjaga akal fikiran manusia.
d) Memelihara keturunan
Hukuman sebat atau rejam dikenakan terhadap penzina bertujuan
memelihara keturunan manusia.
e) Memelihara harta
Hukuman potong tangan dikenakan terhadap pencuri
sekiranya sabit kesalahan demi menjaga harta masyarakat daripada diceroboh dan
dirampas[25].
HIKMAH PERLAKSANAAN HUKUMAN JENAYAH ISLAM
Antara hikmah perlaksanaan hukuman jenayah Islam
seperti berikut[26]:
1. Melindungi masyarakat daripada bahaya jenayah dan mencegah sebelum
berlaku.
2. Memperbaiki penjenayah dan memperbetulkan penyelewengan.
3. Membersihkan dosa penjenayah, mendidiknya dan menyelamatkannya daripada
azab seksa di akhirat kelak.
4. Mendorong manusia untuk memiliki harta dengan cara yang sah dan halal.
5. Melindungi hak milik harta benda dan jiwa seseorang dengan aman.
RUJUKAN
1. Al-Fiqh
Al-Manhaji (wasiat dan jenayah dalam fiqh al-Syafie), Dr.Zulkifli Mohamad
Al-Bakri, 2013.
2. Wahbah
al-Zuhaili, Fiqh dan Perundangan Islam, 1997.
3. Mohd Mustafa
bin Jusoh@Yusoff, Kolej Universiti Islam
Antarabangsa Selangor, tesis: perundangan jenayah Islam: cabaran dan
realiti, Bangi Selangor, 2015.
4. Fadziah Musa, Falsafah Seksaan Di dalam Undang-undang Jenayah Islam,
Bangi, (1996).
5. Sabri bin Abdul Rahman, Tesis: Jenayah Curi dan Rompak Kajian
Perbandingan dalam Empat Mazhab Fiqh Islam,1987.
[1] Ahmad Sarwat, Lc.Seri fiqih kehidupan (16) : jinayat, Jakarta:rumah
publishing, 2012. Halaman, 205.
[5] Al-Fiqh Al-Manhaji (wasiat dan jenayah dalam fiqh al-Syafie),
Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 2013, Halaman 413.
[6] Al-Fiqh Al-Manhaji (wasiat dan jenayah dalam fiqh al-Syafie),
Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 2013, Halaman 414.
[7] Al-Fiqh Al-Manhaji (wasiat dan jenayah dalam fiqh al-Syafie),
Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 2013, Halaman 414.
[9] Jabatan Penerangan Brunei Darussalam, Hirabah: Dosa dan jenayah
besar yang boleh membawa hukuman mati, 2015.
[10] Sabri bin Abdul Rahman, Tesis: Jenayah Curi dan Rompak Kajian
Perbandingan dalam Empat Mazhab Fiqh Islam,1987.
[13]
Jabatan Penerangan Brunei Darussalam, Hirabah: Dosa dan jenayah besar yang
boleh membawa hukuman mati, 2015.
[14] Jabatan Penerangan Brunei Darussalam, Hirabah: Dosa dan jenayah
besar yang boleh membawa hukuman mati, 2015
[15] Al-Fiqh Al-Manhaji (wasiat dan jenayah dalam fiqh al-Syafie),
Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 2013, Halaman 414.
[16] Al-Fiqh Al-Manhaji (wasiat dan jenayah dalam fiqh al-Syafie),
Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 2013, Halaman 415.
[17]
Al-Fiqh Al-Manhaji (wasiat dan jenayah dalam fiqh al-Syafie), Dr.Zulkifli Mohamad
Al-Bakri, 2013, Halaman 416.
[21] Al-Fiqh Al-Manhaji (wasiat dan jenayah dalam fiqh al-Syafie),
Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 2013, Halaman 417.
[22] Al-Fiqh Al-Manhaji (wasiat dan jenayah dalam fiqh al-Syafie),
Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 2013, Halaman 418.
[23] Fadziah Musa, Falsafah Seksaan Di dalam Undang-undang Jenayah
Islam, Bangi, (1996), Halaman 78.
[24] Fadziah Musa, Falsafah Seksaan Di dalam Undang-undang Jenayah
Islam, Bangi, (1996), Halaman 78.
[25] Fadziah Musa, Falsafah Seksaan Di dalam Undang-undang Jenayah
Islam, Bangi, (1996), Halaman 78.
[26] Mohd Mustafa bin Jusoh@Yusoff,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, tesis: perundangan
jenayah Islam: cabaran dan realiti, Bangi Selangor, 2015.
Sangat berguna.. Terima kasih
ReplyDeleteSgt membantu sya...trimas
ReplyDeleteTerimakasih
ReplyDeleteSangat membantu utk saya mendalami subjek Pendidikan Syariah Islamiah tingkatan 5....terima kasih atas perkongsian,penjelasan terbaik dan mudah faham.Harap dapat mempelbagaikan lagi ilmu perkongsian supaya dapat menbantu masyarakat mengurangkan kekeliruan dan persoalan yg timbul.doakan saya SPM03����
ReplyDeleteThank you to the author i really can understand now ..
ReplyDeleteSands Casino Review & Rating - SG Casino
ReplyDeleteRead our Review of Sands Casino, its Pros, Cons, Games, Security, Payments, Security and more. Check out our Rating before you join. 샌즈 카지노 쇼미 더벳