Skip to main content

PENDAHULUAN

Jenayah merupakan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang kerajaan sesuatu tempat. Orang yang melakukan perbuatan jenayah ini dinamakan penjenayah.

            Menurut Kamus Dewan, Undang-undang ialah sesuatu peraturan atau keseluruhan peraturan yang digubal (dibuat) oleh sesebuah kerajaan negeri atau negara dan ianya mesti dipatuhi oleh setiap individu atau masyarakat tersebut. Di dalam sesebuah negara demokrasi, Parlimen membuat undang-undang yang mesti diikuti oleh setiap orang.

            Jenayah ialah kesalahan yang dilakukan oleh individu atau kumpulan dengan niat hendak melakukan kesalahan itu, maka orang yang melakukan kesalahan itu boleh lah dihukum dengan balasan penjara ataupun boleh dikenakan hukuman mati ke atas si pelaku tersebut jika terbukti akan kesalahan yang dilakukan. – Tun Salleh Abas 

            Sesuatu perbuatan atau kesalahan jenayah adalah dilakukan dengan niat salah. Sesuatu perbuatan tidak boleh menjadi jenayah sekiranya tidak disertai dengan niat, walaupun akibat dari perbuatan seperti itu, membawa kecederaan atau maut terhadap mangsanya.

            Di dalam perundangan jenayah moden terdapat satu maxim latin yang tersohor iaitu Actus non facit reum nisi req yang disebut oleh Lord Kenyon sebagai niat dan perbuatan termasuk ketinggalan. Perbuatan dan niat mesti ada serentak untuk mewujudkan jenayah (kes Fowler V Padet, 1978, T.T.R 509). Ini bermakna sesuatu perbuatan atau ketinggalan jenayah dikatakan sebagai satu jenayah.
           
            Jenayah adalah kelakuan yang menyalahi undang-undang. Jenayah juga dianggap sebagai tindak tanduk yang menyalahi undang-undang. Menurut Kanun Tatacara Jenayah ianya sebagai satu perbuatan atau ketinggalan yang boleh dihukum dibawah satu undang-undang yang sedang berkuatkuasa.


Jenayah boleh dikategorikan kepada beberapa iaitu:

a)      Jenayah Harta Benda

b)      Jenayah Tubuh Badan

c)      Jenayah Komersial


d)     Jenayah Siber


e)      Jenayah Maritim


f)       Jenayah Udara


g)      Jenayah Melibatkan Moral


h)      Jenayah Melibatkan Hak Individu / Kumpulan / Organisasi



PENGERTIAN HIRABAH


Hirabah adalah satu bentuk perkara jenayah ia lebih dahsyat dari pembunuhan semata. Hirabah ialah rompakan bersenjata atau tindakan ganas yang dilakukan di jalan-jalan awam dengan menceroboh para penggunanya, mengancam keselamatan mereka dan merampas harta benda mereka. Ini merupakan sejenis jenayah yang sangat serius dan berbahaya. Justeru, hukuman yang paling keras mesti dikenakan ke atas pelakunya untuk menjamin keamanan di jalan-jalan awam dan memelihara keselamatan para penggunanya.
            Hirabah secara tata bahasa arab berasal dari kata harb (حرب) yang bererti perang, yang merupakan perkataan berlawan dari as-silmu (السّلم) yang bermakna perdamaian[1].
            Hirabah dalam istilah syara’ membawa maksud serangan bertjuan merampas harta, membunuh atau menakutkan dengan cara terang-terangan, angkuh dan menggunakan kekuatan di kawasan yang terpencil daripada bantuan. Ia dilakukan oleh mukallaf  yang tertakluk kepada undang-undang, termasuk ahli zimmi dan orang yang murtad.

            Terdapat beberapa istilah yang digunakan bagi jenayah merompak dalam sistem jenayah Islam iaitu meliputi al-Hirabah, Sariqah al-Kubra, dan Qatta al-Tariq.[2] Hirabah atau merompak ditakrifkan sebagai keluarnya seseorang atau sekumpulan orang [3] dengan tujuan untuk mengambil harta atau menakut-nakutkan[4] orang dengan cara kekerasan dan berjauhan daripada tempat untu mendapat pertolongan. Ia memberikan pengertian bahawa merompak adalah suatu perbuatan untuk mengambil harta atau membunuh atau mengugut dengan menggunakan senjata demi mencapai apa yang dihajati.
            Frasa yang menggunakan kekuatan di sini menunjukkan bahawa sekiranya jenayah yang dilakukan tersebut dibuat atas dasar kelalaian seterusnya melarikan diri atau bergantung kepada kelemahan mangsa, jenayah tersebut tidak dikategorikan sebagai hirabah.[5] Tetapi ia dikategorikan sebagai rampasan (nuhbah “النهبة ) dan seumpamanya yang mempunyai hukum yang khusus.

            Frasa di kawasan yang terpencil daripada bantuan adalah kawasan yang jauh daripada kawasan Bandar atau kampung yang sekiranya mangsa meminta tolong, suaranya tidak akan kedengaran oleh penduduk sekitar. Bagi jenayah yang dilakukan dalam jarak yang boleh didengar suara mangsa, ia tidak dikategorikan sebagai hirabah.

            Frasa mukallaf yang tertakluk kepada undang-undang mengenepikan kafir harbi. Oleh itu, kafir harbi tidak termasuk dalam kategori ini walaupun dia membunuh dan merompak.[6] Dia sebenarnya boleh dibunuh dalam apa jua keadaan sekalipun. Walau bagaimanapun, apabila seseorang kafir harbi memeluk Islam, segala kesalahannya sebelum ini diampunkan kerana Islam menghapuskan segala dosanya.

            Termasuk dalam pengertian di atas ialah hamba, perempuan dan pemabuk yamg mabuk kerana sengaja melanggar larangan minum bahan yang memabukkan kerana mereka semua adalah mukallaf. Jenayah ini juga boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan selagi mana memenuhi ciri-ciri yang ditetapkan.

            Dalam bahasa Arab, pelaku jenayah ini iaitu perompak dinamakan sebagai qatta’u al-Tariq (قطاع الطريق) [7]yang bermaksud pemutus jalan. Mereka dinamakan sedemikian kerana orang ramai terpaksa mengelak melalui jalan tersebut, seolah-olah mereka ini benar-benar memutuskan jalan.

PENGERTIAN HIRABAH MENURUT JUMHUR ULAMA’

            Menurut Mazhab Hanafi, rompakan ialah tindakan mengeluarkan senjata serta menakutkan orang di jalan-jalan di luar kawasan berpenduduk atau di dalamnya sama ada dengan tujuan merampas harta benda orang atau tanpa tujuan tersebut. Namun begitu, Imam Abu Hanifah menekankan bahawa rompakan tidak akan berlaku sama sekali di dalam kawasan berpenduduk.
            Manakala, menurut Mazhab Maliki, rompakan ialah tindakan mengeluarkan senjata serta menakutkan orang di jalan-jalan di luar kawasan berpenduduk atau di dalamnya sama ada dengan tujuan merampas harta benda orang atau tanpa tujuan tersebut.
            Seterusnya mazhab Syafie dan Ahmad, tindakan keluar (oleh seseorang atau sekumpulan orang) untuk merampas harta atau membunuh atau menakutkan orang dengan kekuatan/kekerasan di suatu tempat yang tidak mungkin mangsanya mendapatkan pertolongan.


SYARAT-SYARAT HIRABAH

1.      Tempat hirabah yang dilakukan oleh pelakunya mestilah di tempat yang jauh dari tempat orang ramai.[8] Contohnya di padang rumput yang jauh, di gunung, atau tempat jauh dari lokasi penduduk. Jika tindakan itu dilakukan di tempat orang ramai, maka bukan tindakan hirabah, akan tetapi perampasan biasa, Sebab yang disebut dengan hirabah adalah samun atau rompakan yang dilakukan di jalan-jalan. Akan tetapi, bila mereka melakukan tindakan pembunuhan, perampasan harta dan kemusnahan di tempat-tempat orang ramai, maka tindakan mereka dianggap sebagai hirabah dan berhak dijatuhi hukuman hudud.

2.      Pelakunya membawa senjata yang dapat digunakan untuk membunuh.[9] Contohnya, pedang, senjata api dan lain-lain. Jika mereka tidak membawa senjata atau bersenjatakan alat-alat yang tidak boleh digunakan untuk membunuh seperti tongkat, cambuk dan lain-lain, maka tindakan mereka tidak disebut dengan hirabah.

3.      Dilakukan dengan terang-terangan.[10] Contohnya, mereka merampas harta dengan paksa dan terang-terangan dan memiliki markas pusat. Jika mereka mengambil harta dengan cara sembunyi-sembunyi mereka disebut pencuri. Jika mereka merampas kemudian melarikan diri, mereka disebut peragut.


 SYARAT DAN KETENTUAN

Suatu perkara dapat ditetapkan sebagai pencurian apabila memenuhi syarat seperti berikut[11]:

1.      Orang yang mencuri adalah mukallaf  iaitu baligh dan berakal.

2.      Pencurian itu dilakukan dengan cara sembunyi-sembunyi.

3.      Barang yang dicuri benar-benar milik orang lain.

4.      Barang yang dicuri mencapai jumlah nisab.

5.      Barang yang dicuri berada di tempat penyimpanan atau di tempat yang disembunyikan.




SYARAT-SYARAT MENJATUHKAN HUKUMAN JENAYAH HIRABAH

1.      Muharib adalah Mukallaf

2.      Muharib membawa senjata

3.      Lokasi kejadian adalah jauh daripada orang ramai

4.      Tindakan hirabah secara terang-terangan


 HUKUMAN HAD BAGI JENAYAH HIRABAH

Sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini bahawa jenayah hirabah merupakan jenayah yang dikenakan hukuman had. Jenayah hirabah tidak syak lagi merupakan satu jenayah yang sangat berat dan merbahaya. Oleh itu, pelakunya dikenakan hukuman had yang sangat berat juga jika jenayah hirabah itu disabitkan dengan dua cara[12]:
1.      Iqrar (pengakuan bersalah) oleh tertuduh sendiri, ataupun
2.      Syahadah (keterangan saksi mengikut hukum syara’), selain daripada keterangan mangsa.
Sekiranya didapati sabit kesalahan jenayah hirabah itu melalui salah satu cara di atas atau kedua-duanya sekali, maka Allah S.W.T telah menetapkan hukuman had berikut ke atas mereka sepertimana yang dinyatakan dalam ayat ke-33, Surah al-Maidah :

a)    Hukuman Had Bunuh dan Salib

Hukuman had ini dijatuhkan sekiranya semasa melakukan jenayah hirabah itu pembunuhan berlaku, yakni mangsa hirabah terbunuh dan harta yang dirompak atau diambil pula cukup nisab ataupun lebih[13]. Dalam kes seumpama ini, walaupun harta yang dirompak atau diambil cukup nisab, hanya hukuman had bunuh dan salib sahaja yang akan dijalankan ke atas pesalah. Adapun hukuman had potong tangan kanan dan kaki kiri pula tidak akan dikenakan.

            Pelaksanaan hukuman had dan salib atau palang selepas dibunuh ini bertujuan sebagai balasan atas perbuatan melampau mereka serta sebagai pengajaran dan amaran bagi yang lain supaya menjauhi jenayah ini. Menurut ulama’ Mazhab Syafie, hukuman had salib ini hendaklah dilaksanakan selepas pelaksanaan hukuman had bunuh. Ini kerana jika hukuman had salib itu dilaksanakan sebelum hukuman had bunuh, ia merupakan suatu penyeksaan yang ditegah oleh syara’.

            Selepas hukuman had bunuh dilaksankan ke atas pesalah jenayah hirabah, jenazahnya hendaklah dimandikan kemudian dikafankan dan seterusnya disembahyangkan terlebih dahulu. Selepas itu barulah jenazah pesalah hirabah itu disalib pada kayu atau seumpamanya selama tiga hari tiga malam supaya perkara jenayah dan hukumannya itu diketahui umum agar orang ramai mengambil iktibar dan pengajaran daripadanya. Bagaimanapun, jika jenazah itu berubah ataupun mereput sebelum sampai tiga hari, menurut pendapat yang sah hendaklah ia diturunkan.

b)Hukuman Had Bunuh
Hukuman had ini dijatuhkan sekiranya semasa melakukan jenayah hirabah itu pembunuhan berlaku, yakni mangsa hirabah terbunuh walaupun harta tidak diambil ataupun harta diambil, akan tetapi kurang daripada nisab[14].

c     c)Hukuman Had Potong Pergelangan Tangan Kanan dan Kaki Kiri Setakat Buku Lali

Hukuman had ini dijatuhkan sekiranya semasa melakukan jenayah hirabah itu Cuma harta yang dirompak atau diambil sahaja yang sampai nisab ataupun lebih, akan tetapi tidak ada pembunuhan berlaku.
            Adapun sebagai contoh, nisab atau nilai yang dikenakan hukuman had sepertimana yang termaktub dalam Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah ialah 1 dinar, iaitu 4.25 gram emas ataupun nilainya dalam matawang tempatan pada masa kesalahan dilakukan. Jadi jika harga pasaran 1 gram emas ialah 80 ringgit Brunei, maka kadar nisab curian atau rompakan yang dikenakan hukuman had dalam matawang Brunei Darussalam adalah 340 ringgit Brunei.


            Hukuman had potong pergelangan tangan kanan dan kaki kiri setakat buku lali ini adalah dikira satu hukuman had dan perlu dilaksanakan kedua-duanya. Dalam makna, apabila semasa melakukan jenayah hirabah itu cuma harta yang diambil yang sampai nisab ataupun lebih, akan tetapi tidak ada pembunuhan berlaku, maka jika sabit kesalahan, kedua-dua pergelangan tangan kanan dan kaki kiri setakat buku lalinya akan dipotong. Dari itu, kedua-duanya perlu dilaksanakan ke atasnya sama ada secara sekali gus ataupun secara satu persatu.


KATEGORI PENJENAYAH HIRABAH

Pelaku penjenayah hirabah dibahagikan kepada 4 kategori [15]:
1.      Penjenayah yang membunuh dan merompak harta.
2.      Penjenayah yang membunuh sahaja dan tidak merompak harta.
3.      Penjenayah yang merompak dan tidak mengancam nyawa.
4.      Penjenayah yang menakut-nakutkan orang ramai tanpa mengancam nyawa atau merompak harta.

            Ini adalah empat kategori pelaku penjenayah hirabah. Jenayah yang paling berat antara kategori ini ialah mereka yang membunuh dan merompak. Sementara yang paling ringan ialah mereka yang sekadar menakutkan tanpa mengancam nyawa atau harta. Hukuman bagi jenayah dilakukan ini berbeza mengikut jenayah yang dilakukan. Keterangan adalah seperti berikut:


HUKUMAN BAGI SETIAP KESALAHAN


1.      Mereka yang membunuh dan merompak akan dihukum bunuh kemudian disalib selama 3 hari di tempat yang tinggi seperti kayu atau sebagainya. Hukuman sedemikian dikenakan sebagai memberi pengajaran kepada orang ramai di samping memperlihatkan nasib mereka kepada orang ramai. Walau bagaimanapun, mereka hanya akan disalib selepas mandi, dikafan dan disembahyangkan. Ini kerana, walaupun mereka melakukan jenayah, namun ia tidak bermakna mereka terkeluar daripada Islam. Jenayah muslim tetap wajib dimandi , dikafan, disembahyang dan dikebumikan.[16]

2.      Mereka yang membunuh sahaja akan dihukum bunuh tanpa disalib. Walau bagaimanapun, keluarga mangsa tidak boleh memberi pengampunan kerana hukuman ini adalah hak Allah S.W.T.
            Perbezaan antara pembunuh dalam jenayah ini dengan jenayah bunuh dalam bab qisas ialah, pembunuh di sini membunuh bertujuan untuk menakut-nakutkan dan mengganggu perjalanan orang ramai dengan menggunakan kekuatan tanpa mengambil kira mangsa tertentu, malah ia akan membunuh sesiapa sahaja yang melalui jalan tersebut. Oleh itu hukuman ini menjadi hak Allah dan pengampunan oleh keluarga tidak akan dapat menggugurkan hukuman ini.

3.      Mereka yang merompak sahaja akan dihukum potong tangan secara bersilang. Maksudnya, tangan kanannya akan dipotong bahagian pergelangan tangan dan kaki kirinya pada pergelangan kaki. Sekiranya jenayah ini diulang, tangan kiri dan kaki kanan akan dipotong.

            Walau bagaimanapun, jumlah harta yang dirompak mestilah mencecah kadar yang ditetapkan dalam kesalahan mencuri iaiti suku Dinar atau lebih, atau yang sama nilai dengannya. Sekiranya harta yang dirompak tidak mencecah jumlah tersebut, hakim boleh mengenakan ta’zir yang sesuai.

            Perbezaan antara jenayah yang dilakukan oleh perompak dengan pencuri ialah pencuri mengambil harta curi secara sembunyi sementara perompak melakukannya dengan menakutkan dan mengganggu perjalanan orang ramai dengan menggunakan kekuatan. Apatah lagi apabila berjauhan daripada orang ramai.

4.      Mereka yang hanya menakut-nakutkan tanpa merompak dan membunuh akan dihukum mengikut hukuman ta’zir seperti dibuang negeri, dipenjara atau sebagainya. Hukuman ini bergantung kepada pemerintah dan tiada tempoh tertentu yang ditetapkan bagi hukuman penjara. Malah pemerintah boleh memberi pengampunan jika perlu[17].


HUKUM DAN BALASAN MELAKUKAN JENAYAH HIRABAH

Hirabah tidak syak lagi adalah satu perlakuan haram dan merupakan satu dosa besar. Ia termasuk dalam bahagian jenayah yang dikenakan hukuman had dengan kesepakatan para fuqaha’. Dalam Al-Quran, perlakuan hirabah dianggap dan digelarkan sebagai perlakuan yang memerangi Allah S.W.T dalam Surah Al-Maidah, ayat 33:

Tafsirnya: “Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan membuat kerosakan di muka bumi (dengan menyamun dan merompak ) ialah dengan dibalas bunuh atau dipalang atau dipotong tangan-tangan mereka serta kaki-kaki mereka dengan bersilang atau dibuang negeri (tempat kediaman mereka). Hukuman yang demikian itu adalah suatu penghinaan kepada mereka di dunia dan di akhirat kelak bagi mereka azab yang besar”. (Surah al-Maidah, ayat:33)[18]

            Perumpamaan jenayah hirabah sebagai satu perlakuan memerangi Allah S.W.T dan Rasul-Nya serta membuat kerosakan di muka bumi adalah satu perumpamaan yang sangat dahsyat di mana ia jelas menggambarkan bahawa perlakuan hirabah itu adalah satu jenayah yang sangat besar dan berat. Pelaku jenayah hirabah ini, yang tergamak menggunakan kekerasan serta senjata untuk merampas hak dan harta benda orang lain, adalah mereka yang sangat malang. Selain dalam Al-Quran, Rasulullah S.A.W sendiri telah menafikan mereka ini sebagai umat Baginda. Abdullah bin Umar, Salamah bin al-Akwa’, Abu Musa al-Asy’ari dan Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawasanya Rasulullah S.A.W  telah bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang menghunus senjata ke atas kami, maka dia bukanlah sebahagian daripada kami”. (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)[19]


            Penafian sebagai umat Muhammad atau umat Islam ini merupakan satu amaran serta kecaman atas perbuatan melampau mereka yang bertindak menyebabkan ketakutan di kalangan orang ramai serta satu peringatan kepada semua supaya menjauhi jenayah seumpama itu. Ini kerana sebagai umat Muhammad atau umat Islam, hak mereka sesama Muslim sepatutnya adalah saling membantu, mempertahankan dan memberikan perlindungan antara satu dengan yang lain. Bukannya merompak, membunuh, mencederakan ataupun menggugat keamanan dan keselamatan atau menimbulkan ketakutan di kalangan mereka. Amaran ini jelas menunjukkan betapa beratnya perlakuan jenayah tersebut dan satu dalil jelas bahawa ia adalah suatu yang haram.


DALIL HUKUMAN HIRABAH

Dalil bagi hukuman jenayah hirabah ialah berpandukan firman Allah S.W.T:

Maksudnya: Bahawasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.[20]
                                                                                                            (Surah al-Maidah:33)


            Hukuman bunuh sahaja melibatkan kategori kedua iaitu apabila yang dilakukan hanya membabitkan pembunuhan tanpa merompak.

            Hukuman bunuh dengan salib pula melibatkan kategori pertama iaitu apabila jenayah yang dilakukan membabitkan jenayah bunuh dan merompak. Hukuman potong tangan dan kaki melibatkan kategori ketiga iaitu bagi jenayah merompak tetapi tidak mengancam nyawa. Akhirnya, hukuman buang negeri melibatkan kategori yang keempat iaitu apabila jenayah hanya melibatkan perbuatan menakut-nakutkan tanpa melibatkan nyawa dan harta.


PENGGUGURAN HUKUMAN HIRABAH

Kesemua hukuman yang dinyatakan di atas hanya boleh digugurkan dalam satu keadaan sahaja. Iaitu apabila pesalah bertaubat sebelumberjaya ditangkap oleh pemerintah, sama ada dengan cara melarikan diri atau bersembunyi, atau kerana gagal dikesan oleh pemerintah. Sekiranya penjenayah bertaubat sebelum dibawa kemuka pengadilan, semua hukuman yang khusus untuk jenayah hirabah iaitu bunuh, salib, potong tangan dan kaki akan digugurkan[21]. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

Maksudnya: Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
                                                                                                            (Surah al-Maidah:34)


            Status beliau ketika itu (selepas bertaubat) hanyalah sebagai seorang pembunuh atau perampas. Oleh itu, dia dihukum berdasarkan kesalahan membunuh, merompak atau merampas.

         Semua ini dilaksanakan berdasarkan kaedah dan hukum-hakam yang telah sedia maklum. Taubat tidak akan menggugurkan sebarang jenayah yang dilakukan ketika melakukan jenayah hirabah.

            Oleh itu, seseorang pembunuh yang telah bertaubat sebelum berjaya ditangkap oleh pemerintah masih tertakluk kepada hukuman qisas kecuali ia diampun oleh keluarga mangsa dengan tuntutan membayar diyat atau tanpa sebarang tuntutan. Sementara perompak pula perlu membayar ganti rugi barang yang dirompak selain hukuman ta’zir yang dikenakan pemerintah.

            Dengan ini, dapat kita fahami bahawa penjenayah hirabah yang mencuri atau minum arak ketika melakukan jenayah hirabah suatu masa dahulu, masih tertakluk kepada hukuman curi atau minum arak walaupun setelah bertaubat. Ini kerana hukuman-hukuman tersebut tidak akan digugurkan walaupun dengan taubat[22].


 HIKMAH HUKUMAN DALAM ISLAM

Islam telah menetapkan hukuman bagi setiap kesalahan jenayah yang dilakukan sama ada tergolong dalam jenayah hudud, qisas mahupun ta’zir[23]. Antara hikmah daripada hukuman tersebut adalah seperti berikut:

1.      Pencegahan

Bagi tujuan pencegahan, amaran keras dengan janji-janji azab telah dinyatakan oleh syariat agar manusia takut untuk melakukan jenayah tersebut. Bila melihat hukuman yang dijalankan, bukan sahaja akan mencegah penjenayah tersebut dari mengulangi kesalahan, bahkan mencegah orang ramai daripada melakukan jenayah.

            Selain itu, hukuman yang disyariatkan Islam bukanlah berbentuk hukuman dan pembalasan terhadap jenayah yang dilakukan semata-mata, tetapi ia juga berbentuk pencegahan sesebuah masyarakat daripada kerosakan dan kemusnahan akibat daripada jenayah itu. Sebagai contoh hukuman qisas yang dijatuhkan terhadap pesalah bukanlah bermaksud membalas dendam, menuntut bela atau semata-mata menjatuhkan hukuman bagi kesalahan yang dilakukan.

            Akan tetapi, ia bagi mencegah perbuatan itu daripada terus berlarutan. Persengketaan atau permusuhan berkemungkinan terus berlaku dan berlarutan antara waris penjenayah dan waris mangsa sekiranya hukuman qisas tidak dijalankan. Bukti yang dapat kita lihat di sini ialah peperangan al-Basus yang berlaku di kalangan masyarakat jahiliah di mana peperangan ini berlaku antara kabilah Taghlib dengan kabilah Bakar selama 40 tahun. Punca peperangan ini bila mana seorang kabilah Taghlib bernama Kulaib telah membunuh seekor unta milik seorang perempuan daripada kabilah Bakar.

           Memang menjadi matlamat asal perundangan Islam ialah mencegah dan menggerunkan manusia daripada melakukan jenayah. Ini adalah untuk menghalang keroskan dan menolak kemudaratan.

2.      Pembalasan

Hikmah daripada hukuman juga adalah sebagai balasan kepada penjenayah tersebut di samping memberi pembelaan dan keadilan terhadap mangsa jenayah. Sebab itu dalam kesalahan hudud dan qisas ditetapkan hukuman tertentu sebagai balasan terhadap kesalahan. Dalam kes mencuri contohnya, dikenakan hukuman potong tangan sebagai balasannya. Islam menyediakan sumber penghukuman daripada al-Quran dan hadith demi memastikan hukuman berjalan dengan baik tanpa sebarang penganiayaan.

3.      Pemulihan

Seseorang yang dikenakan hukuman atau dimaafkan atas kesalahan akan melahirkan kesedaran dalam dirinya. Hukuman itu sendiri bertujuan untuk mendidik diri di samping kifarah dan seterusnya dia akan bertaubat kepada Allah. Tujuan hukuman adalah untuk memulihkan pesalah. Sebab itu sebahagian daripada kesalahan ada kemaafan seperti qisas dan ta’zir.

4.      Pemeliharaan

Pemeliharaan yang dimaksudkan di sini ialah pemeliharaan nilai murni dalam masyarakat oleh setiap individu demi menjamin keharmonian dan kestabilan hidup. Penghukuman dalam undang-undang Islam disyariatkan untuk memelihara nilai-nilai murni seperti berikut[24]:


a)      Memelihara Agama
Hukuman berat dikenakan kepada orang murtad bertjuan memelihara kesucian agama.

b)     Memelihara jiwa
Hukuman qisas disyariatkan iaitu hukum bunuh terhadap pembunuh yang membunuh dengan sengaja bertujuan memelihara jiwa manusia daripada diceroboh dan diganggu.

c)      Memelihara akal
Hukuman dikenakan terhadap peminum arak bertujuan menjaga akal fikiran manusia.

d)     Memelihara keturunan
Hukuman sebat atau rejam dikenakan terhadap penzina bertujuan memelihara keturunan manusia.

e)      Memelihara harta
Hukuman potong tangan dikenakan terhadap pencuri sekiranya sabit kesalahan demi menjaga harta masyarakat daripada diceroboh dan dirampas[25].


 HIKMAH PERLAKSANAAN HUKUMAN JENAYAH ISLAM

Antara hikmah perlaksanaan hukuman jenayah Islam seperti berikut[26]:

1.      Melindungi masyarakat daripada bahaya jenayah dan mencegah sebelum berlaku.

2.      Memperbaiki penjenayah dan memperbetulkan penyelewengan.

3.      Membersihkan dosa penjenayah, mendidiknya dan menyelamatkannya daripada azab seksa di akhirat kelak.

4.      Mendorong manusia untuk memiliki harta dengan cara yang sah dan halal.

5.      Melindungi hak milik harta benda dan jiwa seseorang dengan aman.


 RUJUKAN


1.      Al-Fiqh Al-Manhaji (wasiat dan jenayah dalam fiqh al-Syafie), Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 2013.
2.      Wahbah al-Zuhaili, Fiqh dan Perundangan Islam, 1997.
3.      Mohd Mustafa bin Jusoh@Yusoff,  Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, tesis: perundangan jenayah Islam: cabaran dan realiti, Bangi Selangor, 2015.
4.      Fadziah Musa, Falsafah Seksaan Di dalam Undang-undang Jenayah Islam, Bangi, (1996).
5.      Sabri bin Abdul Rahman, Tesis: Jenayah Curi dan Rompak Kajian Perbandingan dalam Empat Mazhab Fiqh Islam,1987.



[1] Ahmad Sarwat, Lc.Seri fiqih kehidupan (16) : jinayat, Jakarta:rumah publishing, 2012. Halaman, 205.
[2] Ibn Rusy, Jilid 2, Halaman, 493.
[3] Muhammad Abu Zahrah, Halaman, 155-156.
[4] Muhammad Salim Elwa, Halaman 8.
[5] Al-Fiqh Al-Manhaji (wasiat dan jenayah dalam fiqh al-Syafie), Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 2013, Halaman 413.
[6] Al-Fiqh Al-Manhaji (wasiat dan jenayah dalam fiqh al-Syafie), Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 2013, Halaman 414.
[7] Al-Fiqh Al-Manhaji (wasiat dan jenayah dalam fiqh al-Syafie), Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 2013, Halaman 414.
[8] Wahbah al-Zuhaili, Fiqh dan Perundangan Islam, 1997.
[9] Jabatan Penerangan Brunei Darussalam, Hirabah: Dosa dan jenayah besar yang boleh membawa hukuman mati, 2015.
[10] Sabri bin Abdul Rahman, Tesis: Jenayah Curi dan Rompak Kajian Perbandingan dalam Empat Mazhab Fiqh Islam,1987.
[11] Al-Kasani , Badaa-I al-Sonna’I, Jilid 7, Halaman 92.
[12] Wahbah al-Zuhaili, Fiqh dan Perundangan Islam, 1997.
[13] Jabatan Penerangan Brunei Darussalam, Hirabah: Dosa dan jenayah besar yang boleh membawa hukuman mati, 2015.
[14] Jabatan Penerangan Brunei Darussalam, Hirabah: Dosa dan jenayah besar yang boleh membawa hukuman mati, 2015
[15] Al-Fiqh Al-Manhaji (wasiat dan jenayah dalam fiqh al-Syafie), Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 2013, Halaman 414.
[16] Al-Fiqh Al-Manhaji (wasiat dan jenayah dalam fiqh al-Syafie), Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 2013, Halaman 415.
[17] Al-Fiqh Al-Manhaji (wasiat dan jenayah dalam fiqh al-Syafie), Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 2013, Halaman 416.
[18] Al-Quran, Surah al-Maidah, ayat 33.
[19] Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
[20] Al-Quran, Surah Al-Maidah, ayat 33.
[21] Al-Fiqh Al-Manhaji (wasiat dan jenayah dalam fiqh al-Syafie), Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 2013, Halaman 417.
[22] Al-Fiqh Al-Manhaji (wasiat dan jenayah dalam fiqh al-Syafie), Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 2013, Halaman 418.
[23] Fadziah Musa, Falsafah Seksaan Di dalam Undang-undang Jenayah Islam, Bangi, (1996), Halaman 78.
[24] Fadziah Musa, Falsafah Seksaan Di dalam Undang-undang Jenayah Islam, Bangi, (1996), Halaman 78.
[25] Fadziah Musa, Falsafah Seksaan Di dalam Undang-undang Jenayah Islam, Bangi, (1996), Halaman 78.
[26] Mohd Mustafa bin Jusoh@Yusoff,  Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, tesis: perundangan jenayah Islam: cabaran dan realiti, Bangi Selangor, 2015.

Comments

  1. Sangat berguna.. Terima kasih

    ReplyDelete
  2. Sangat membantu utk saya mendalami subjek Pendidikan Syariah Islamiah tingkatan 5....terima kasih atas perkongsian,penjelasan terbaik dan mudah faham.Harap dapat mempelbagaikan lagi ilmu perkongsian supaya dapat menbantu masyarakat mengurangkan kekeliruan dan persoalan yg timbul.doakan saya SPM03����

    ReplyDelete
  3. Thank you to the author i really can understand now ..

    ReplyDelete
  4. Sands Casino Review & Rating - SG Casino
    Read our Review of Sands Casino, its Pros, Cons, Games, Security, Payments, Security and more. Check out our Rating before you join. 샌즈 카지노 쇼미 더벳

    ReplyDelete

Post a Comment